Secara umumnya, idea ke arah kelahiran internet telah mula tercetus pada tahun 1957. Pelancaran satelit Sputnik oleh Russia pada masa itu telah menyebabkan Amerika Syarikat menubuhkan ARPA (Advance Research Projects Agency), iaitu sebuah agensi di bawah penyeliaan Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat. Objektif utama penubuhan ARPA adalah untuk membangunkan teknologi dalam bidang ketenteraan yang dapat bersaing dengan kuasa luar dalam pelbagai bidang, termasuk sains dan teknologi.
Melalui ARPA, teori pensuisan paket (packet-switching networks: PS-networks) telah diperkenalkan buat kali pertama oleh Leonard Kleinrock, melalui kertas kerjanya yang bertajuk “Information Flow in Large Communication Nets” pada bulan Julai 1961. Teori ini kemudiannya telah dimajukan oleh Paul Baran dan telah dibentangkan di Simposium ACM di Gatlinburg, Tennessee pada bulan Oktober 1967.
Teori PS-network seterusnya dipersembahkan kepada ARPA pada tahun 1968. Berikutan dengan itu, cadangan untuk menubuhkan ARPANET telah dikemukakan pada bulan Ogos 1968 dan maklum balas terhadap cadangan tersebut telah diterima pada bulan September tahun yang sama. Untuk menjayakan ARPANET, University of California Los Angeles telah ditawarkan kontrak untuk memainkan fungsi sebagai Network Measurement Center (NIC) pada bulan Oktober 1968 manakala Bolt Beranek and Newman, Inc. (BBN) ditawarkan kontrak “Packet Switch” untuk membina “Interface Message Processors (IMPs)”.
Lanjutan daripada itu, pada tahun 1969 ARPANET (Advanced Research Projects Agency Network) telah dihasilkan. Rangkaian ini menggunakan mini komputer Honeywell DDP-516 dengan 12K ingatan. Rangkaian ini menghubungkan empat buah komputer yang bertindak sebagai nod, iaitu di UCLA sebagai Network Measurement Center, Stanford Research Institute sebagai Network Information Center (NIC), University of California Santa Barbara (UCSB) dan University of Utah. Kesemua nod ini adalah merupakan hubungan antara Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat dengan penyelidik ketenteraan di universiti. Tujuan asas ARPANET adalah untuk membentuk suatu rangkaian komunikasi bertujuan mempertahankan diri dari serangan musuh dan perbuatan sabotaj. Di samping itu, ia juga bertujuan membangunkan rangkaian yang membenarkan para saintis dan penyelidik berkongsi sumber maklumat. ARPANET juga bertujuan membangunkan satu rangkaian yang mudah alih dan bebas daripada kongkongan pihak-pihak tertentu. Rangkaian ARPANET ini dijalinkan dengan berasaskan kepada Protokol Kawalan Rangkaian (NCP : Network Control Protokol).
Belum Ada Tanggapan
Belum ada komentar.
Komentar RSS Lacak Balik URI Pengenal
Tinggalkan komentar
